SINGAPURA: Singapura akan bekerjasama dengan Indonesia dan negara ASEAN lain serta pihak rakan seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), untuk mendesak pemerintah tentera Myanmar melaksanakan pelan damai yang tertangguh.
Perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, hari ini, selepas pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo yang melakukan lawatan kerja ke Singapura.
Hsien Loong berkata, kedua-dua pemimpin itu kecewa dengan kekurangan perkembangan dalam pelan damai yang diterajui ASEAN berhubung kemelut Myanmar yang diselubungi keganasan dan huru-hara sejak rampasan kuasa oleh tentera pada Februari 2021.
“Singapura akan terus bekerjasama dengan Indonesia dan negara anggota ASEAN, rakan ASEAN Plus seperti PBB, bagi mendesak pelaksanaan penuh konsensus lima perkara,” katanya merujuk kepada pelan damai yang sebelum ini dipersetujui oleh jeneral tertinggi Myanmar bersama ASEAN.
Dalam perkembangan lain, Hsien Loong bersama Jokowi mengumumkan Singapura dan Indonesia akan bekerjasama membangunkan tenaga boleh diperbaharui.
Persetujuan itu adalah antara beberapa memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani kedua-dua negara, termasuk perkongsian maklumat oleh Singapura yang boleh menyokong pembangunan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara. – REUTERS
Sumber: Bharian